Pemimpin Parti Hak Asasi Manusia P Uthyakumar membuat penampilan pertama di mahkamah terbuka dengan diiringi sekurang-kurangnya lima pegawai penjara selepas dijatuhi hukuman kerana menghasut oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tidak seperti biasanya, apabila tertuduh diiringi seorang pegawai, Uthyakumar hari ini dikawal ketat. Ini berlaku dalam pengurusan kes berhubung rayuannya.

Tindakan pihak berkuasa penjara itu bagaimanapun mengundang kemarahan penyokongnya, yang menuntut supaya pemimpin mereka itu dilayan dengan penuh kehormatan.

Selepas pengurusan kes, isterinya S Indra Devi dan ibu G Kalaivaniy sempat meluangkan masa dengannya sambil diperhatikan oleh pegawai penjara dan pihak polis.

Selepas aduan penyokongnya itu, mahkamah memerintahkan Uthaya dibawa ke lokap kompleks mahkamah supaya dapat bertemu keluarganya di situ.

Peguamnya AS Dhaliwal memberitahu pemberita, mahkamah menetapkan 24 Oktober untuk lanjutan pengurusan kes.

"Nota prosiding dan alasan penghakiman belum disediakan," katanya.

"Justeru, kita tidak dapat menyediakan petisyen rayuan tanpa kedua-duanya yang diperlukan. Kami akan menulis kepada hakim Mahkamah Sesyen untuk menyediakan dokumen diperlukan secepat mungkin untuk bersedia dengan petisyen rayuan."(Malaysia Kini)